Sunday, August 17, 2008

KEWUJUDAN PENEMPATAN SETINGGAN
Proses urbanisasi yang pesat secara tidak langsung telah menggalakkan pertumbuhan penduduk yang tinggi berbanding dengan keupayaan penawaran perumahan. Ini mengakibatkan banyak tanah-tanah milik kerajaan atau swasta dijadikan alternatif untuk didirikan kediaman secara haram (setinggan).
Penempatan setinggan ini sudah pastinya membawa kesan yang kurang menyenangkan. Terdapat beberapa masalah yang sering dihadapi oleh penduduk setinggan.


MASALAH DI KAWASAN SETINGGAN

a) masalah keperluan asas
Penduduk di kawasan setinggan sering mengalami masalah kekurangan keperluan asas. Hal ini disebabkan, mereka mendirikan rumah tanpa kebenaran di atas tanah kerajaan. Keperluan utama seperti air bersih sukar diperoleh di kawasan penempatan setinggan dan menyebabkan mereka terdedah kepada masalah kesihatan yang teruk.
Selain masalah air, penduduk di kawasan setinggan juga mengalami masalah berkenaan dengan sistem pembuangan sampah, sistem pembuangan sisa kumbahan, dan keadaan jalan yang tidak memuaskan. Masalah ini meninggalkan kesan negatif terhadap persekitaran dan kesihatan penghuni setinggan. Tanpa sistem pembuangan sampah yang sistematik, mereka cenderung membuang sampah ke dalam sungai dan alur-alur, keadaan ini seterusnya menimbulkan ketidakselesaan di kawasan sekeliling serta mengundang kehadiran serangga-serangga seperti lalat dan nyamuk yang boleh mengancam kesihatan penduduk di kawasan setinggan.

b) masalah kemudahan awam
Kawasan setinggan juga turut mengalami masalah ketiadaan kemudahan awam, contohnya seperti tempat rekreasi, dewan orang ramai, klinik, sekolah, tempat ibadat dan sebagainya. Biasanya kemudahan-kemudahan tersebut terletak jauh dari penempatan mereka dan ini menyukarkan penghuni-penghuni setinggan untuk mendapatkan kemudahan tersebut. Sekolah yang terletak jauh dari penempatan mereka juga menyebabkan ada ibu bapa yang tidak menghantar anak-anak mereka ke sekolah dan menyebabkan mereka tercicir dalam pelajaran.

c) masalah jenayah
Penempatan setinggan tidak dapat diasingkan daripada berlakunya masalah jenayah. Hal ini disebabkan pihak berkuasa tidak memberi perhatian yang tinggi ke atas kawalan keselamatan kawasan setinggan. Antara kegiatan jenayah yang sering berlaku di kawasan setinggan ialah penyalahgunaan dadah, pelacuran, penculikan, kecurian dan sebagainya. Tambahan pula, pihak berkuasa tempatan enggan mendirikan pondok atau balai di kawasan setinggan menyebabkan berlaku peningkatan kes jenayah di kawasan tersebut. Kawasan setinggan juga turut menjadi pusat kepada pihak luar yang menjalankan aktiviti jenayah dan melibatkan remaja-remaja di kawasan tersebut.
KESAN MIGRASI

a) Ekonomi

Kerajaan telah mengambil langkah yang bijak, dalam mengawal kenaikan gaji buruh dan inflasi dan ini merupakan aspek utama dalam menuju kepada kejayaan pertumbuhan ekonomi. Melalui kaedah ini, kerajaan dapat mengurangkan penggunaan wang yang banyak untuk membayar gaji atau upah kepada buruh asing ini, kerana mereka tidak terlalu meminta-minta gaji yang lebih dan tidak menghiraukan sangat tentang pendapatan yang mereka perolehi, asalkan duit yang mereka terima itu mampu untuk menyara keluarga di negara mereka dan sebagainya. Secara tidak langsung para majikan akan mengambil kesempatan ini untuk mengaut keuntungan kerana mereka tidak perlu lagi menawarkan kos untuk kemudahan sosial seperti tabung kebajikan pekerja, faedah perubatan dan faedah-faedah lain kepada buruh asing ini.
Memang tidak dapat dinafikan, kedatangan buruh asing ke negara kita hanya untuk mengisi kekosongan pekerjaan dalam sektor perladangan, pembinaan, pembantu rumah dan sektor perkhidmatan ( seperti restoran dan jurupam ). Namun begitu, harus diingat dan telahpun terbukti bahawa ramai di kalangan buruh asing yang telah mula bertukar arah yakni menukar bidang pekerjaan yang mampu menawarkan gaji yang lumayan seperti peniaga kecil-kecilan, juruteknik, sub-kontraktor dan penyelia kilang yang sebelum ini pekerjaan ini telah dipenuhi oleh pekerja tempatan.
Justeru itu, penglibatan buruh asing ini bukan sahaja akan menggugat pendapatan pekerja tempatan malah kedudukan ekonomi orang tempatan. Kalau sebelum ini, orang tempatan dapat menikmati pekerjaan tanpa ada persaingan daripada orang asing, tapi kini tidak lagi, penduduk tempatan terpaksa bersaing untuk mendapatkan pekerjaan, dan mengakibatkan wujudnya peningkatan harga rumah, sewa rumah dan keperluan asas yang lain ekoran daripada pertambahan penduduk akibat daripada kehadiran buruh asing yang tidak terkawal di sesebuah tempat.

b) sosial
Sejak akhir-akhir ini media-media massa juga banyak menyiarkan berita-berita jenayah seperti merompak, menyamun, mencuri, merogol, menyeludup dan kegiatan pelacuran yang dilakukan oleh buruh asing yang datang ke negara kita. Penglibatan mereka dalam kegiatan jenayah boleh menggugat keselamatan sosial dan penduduk. Selain daripada itu, ada juga kedengaran, kedatangan buruh asing ini telah mempergiatkan peningkatan rumah urut, bar dan tempat karaoke, di mana di tempat-tempat sebegini terdapat ramai pelayan-pelayan yang terdiri dari warga asing yang bukan sahaja setakat melayan perkhidmatan pelanggan, malah sanggup menawarkan perkhidmatan seks kepada pelanggan yang memerlukan dengan bayaran yang murah.
Ekoran daripada fenomena sebeginilah yang boleh mengakibatkan gejala-gejala yang tidak diingini berlaku seperti AIDS dan sebagainya. Selain daripada itu terdapat juga laporan tentang segelintir buruh asing yang cuba menyebarkan agama lain kepada masyarakat Melayu yang beragama Islam di Malaysia. Jika ini berlaku , sudah tentu akan menimbulkan konflik sosial yang serius pada masa akan datang yang sekaligus akan mengancam keselamatan negara.

c) politik
Kehadiran buruh asing yang terlalu ramai, boleh menggugat kestabilan politik negara. Kegagalan pihak berkuasa menggubal satu undang-undang dan sekaligus mengawal kemasukan buruh asing ini dan merekodkan dengan sempurna ,secara tidak langsung pandangan orang luar terhadap pentadbiran dan peranan masyarakat umum negara kita terlalu lemah. Ini dapat dilihat, sekiranya terdapat buruh asing di Malaysia yang menyerupai penduduk tempatan baik dari segi budaya dan fizikal. Situasi ini dapat mewujudkan kekeliruan tentang status kerakyatan dan seterusnya penyertaan mereka dalam politik.
Kita ketahui bahawa di bawah Perundangan Malaysia, setiap warganegara asing boleh memohon untuk menjadi rakyat Malaysia dan salah satu keperluan perundangan ini ialah memiliki kad pengenalan. Walaupun ini merupakan syarat asas untuk menjadi rakyat Malaysia dan perlu mengikut prosedur-prosedur yang tertentu untuk mencapai taraf kerakyatan, namum begitu kejadian kad pengenalan palsu amat berleluasa dewasa ini.
Banyak terdapat sungutan kononya ada satu sindiket yang terdiri dari rakyat Malaysia sendiri yang berani mengeluarkan permit palsu semata-mata untuk memudahkan buruh asing ini masuk ke negara ini. Malah ada kemungkinan juga berlakunya penyelewengan di kalangan rakyat Malaysia sendiri, barangkali ada yang terlibat dalam kes seperti ini hingga membolehkan buruh asing ini mendapatkan visa dan kad pengenalan dengan mudah.
Sekiranya gejala-gejala ini tidak ditangani dengan segera, maka tidak hairanlah suatu hari nanti warga asing ini akan menjadi pemimpin negara kita sekaligus mengawal pentadbiran, ekonomi dan sosial mengikut telunjuknya.

kesan urbanisasi dan pembangunan bandar (migrasi dan faktornya)

MIGRASI


Merujuk kepada perpindahan penduduk dari sebuah negara atau tempat ke negara atau tempat lain. Migrasi atau perpindahan ini berpunca antara lain kerana kegiatan ekonomi dan kewujudan peluang-peluang pekerjaan yang lebih banyak di sesuatu kawasan itu. Migrasi biasanya berlaku disebabkan para migran berhasrat untuk meningkatkan taraf hidup mereka.
Migran merujuk kepada orang yang berhijrah. Imigrasi merujuk kepada penduduk yang berhijrah masuk ke sesebuah negara atau tempat. Emigrasi pula merujuk kepada orang yang berpindah keluar dari sesebuah negara atau tempat.


faktor yang mempengaruhi migrasi


a) Faktor Ekonomi


- Faktor ekonomi merupakan faktor utama yang meyumbang kepada berlakunya proses migrasi ini. Kedudukan ekonomi yang mantap dan kukuh menyebabkan wujudnya banyak sektor pertanian, pembinaan dan perkilangan, sekaligus membuka peluang kepada rakyat sesebuah negara termasuk juga golongan pendatang yang datang khususnya untuk mencari rezeki di negara orang.
Peluang pekerjaan juga wujud bagaikan "cendawan selepas hujan" disebabkan ramai rakyat tempatan tidak berminat lagi berkecimpung di dalam sektor perladangan dan pembinaan, maka kedatangan penghijrah dari Indonesia, Bangladesh dan lain-lain negara, in seolah-olah satu rahmat kepada para pengusaha sektor tersebut.


b) Taraf ekonomi yang rendah di negara sendiri.


- Bagi negara Malaysia khususnya, kemakmuran ekonomi seringkali dijadikan alasan untuk menjelaskan mengapa negara ini menarik perhatian ramai rakyat Indonesia dan Bangladesh malah termasuk juga negara-negara yang mengalami taraf ekonomi yang rendah.
Sejak berlakunya kegawatan ekonomi di rantau Asia ini yang menyebabkan jatuhnya nilai mata wang negara-negara dunia ketiga, dengan secara tidak langsung harga-harga barangan di pasaran meningkat dengan mendadak, maka ini juga merupakan salah satu faktor migrasi berlaku. Taraf kehidupan semakin tinggi jadi sebagai alternatifnya mereka terpaksa mencari rezeki untuk menampung perbelanjaan keluarga masing-masing, memandangkan taraf ekonomi negara mereka yang rendah maka wujudlah migrasi ke negara-negara yang menyediakan peluang pekerjaan yang banyak kepada mereka.
Bilangan penduduk yang ramai dengan pertumbuhan ekonomi yang tidak seimbang di negara asal mereka, menyebabkan golongan ini terpaksa mencari alternatif lain untuk meneruskan kehidupan. Oleh itu jalan yang paling mudah ialah merebut kesempatan yang ada di negara yang menjanjikan pendapatan yang lumayan.


c) Faktor sosiobudaya

- Sebenarnya faktor sosiobudaya juga memainkan peranan utama menyebabkan pendatang Indonesia semakin bertambah dari hari ke hari ke negara kita. Bahkan boleh dikatakan faktor sosiobudaya ini memainkan peranan yang sama pentingnya dengan faktor ekonomi, mennjadi daya tarikan kepada pendatang Indonesia ini.
Faktor persamaan sosiobudaya antara kedua-dua negara akan selamanya didapati menjadi daya tarikan untuk mereka datang ke negara ini.Dengan adanya persamaan ciri-ciri ini proses untuk mereka menyesuaikan diri akan berjalan dengan lancar. Keupayaan mereka menyesuaikan diri dengan kehidupan di negara ini merupakan "pasport" utama, membolehkan mereka mengekalkan dan mempertahankan kedudukan mereka di negara ini.

d) Faktor politik

- Kestabilan politik sesebuah negara memainkan peranan yang penting dan berkait rapat dengan ekonomi negara dan proses migrasi antarabangsa. Sebuah negara yang aman dan makmur secara tidak langsung dapat mengelakkan berlakunya migrasi penduduk negara tersebut ke negara lain, sebaliknya menyebabkan penduduk negara lain berhijrah ke negara tersebut.
Dari segi kajian yang telah dibuat menunjukkan ketidakstabilan politik sesebuah negara menyebabkan peratus migrasi yang tinggi, ini dapat dilihat pada negara-negara seperti Indonesia, Bangladesh, Filipina, Thailand dan lain-lain yang berhijrah ke Malaysia secara haram

urbanisasi dan pembangunan bandar

Urbanisasi merupakan proses perpindahan dari bentuk kehidupan desa kepada kehidupan bandar. Proses urbanisasi di bandar-bandar utama semakin pesat membangun meliputi keadaan fizikal dan sosio ekonomi. Perkembangan pesat dalam sector ekonomi bandar dan sektor perindustrian telah mewujudkan peluang-peluang pekerjaan yang banyak kepada penduduk setempat dan kawasan-kawasan sekitarnya. Kerajaan menganggap bahawa proses urbanisasi yang terancang dan terkawal merupakan satu strategi penting dalam mencapai matlamat DEB di samping memupuk keseimbangan ekonomi antara bandar dan luar bandar.

Pembangunan bandar yang seimbang adalah merupakan sebahagian daripada strategi yang penting untuk memupuk satu sistem ekonomi yang bersepadu. Dalam usaha kerajaan untuk mencapai matlamat pembangunan negara melalui proses pembangunan bandar atau urbanisasi, beberapa strategi khusus telah dirangka. Antaranya, memastikan pembangunan bandar yang seimbang dari segi pembangunan fizikal, susunan kaum dan penyertaan dalam pembangunan bandar melalui pengurusan sumber yang lebih cekap seperti tanah, sistem pengangkutan, perumahan, tenaga manusia, dan infrastruktur sosial.

Selain itu, kerajaan juga berusaha memastikan pembangunan secara teratur di pusat-pusat bandar yang sedia ada dengan mengambil kira keadaan tempatan. Selaras dengan tujuan ini, pelan-pelan struktur bagi pusat-pusat utama dan pelan-pelan tempatan bagi kumpulan-kumpulan pusat bandar kecil disediakan dan pelan ini menjadi garis panduan dalam pembangunan dan pembaharuan semula bandar. Strategi ini dirangka supaya dapat meningkatkan kecekapan dalam perancangan kawasan-kawasan bandar di samping dapat mengelakkan kesan buruk akibat pembangunan kawasan bandar.

Proses urbanisasi dan pembangunan bandar yang kian pesat terutama dalam sektor ekonomi bandar dan perindustrian telah menjadi pendorong utama penghijrahan penduduk-penduduk setempat ke kawasan bandar. Perkembangan dan kemajuan kawasan bandar bukan sahaja menarik para migrant dari dalam negara sahaja malah turut menjadi faktor pendorong berlakunya migrasi dari negara luar yang berhasrat untuk meningkatkan taraf hidup mereka.

Monday, August 4, 2008

konsep urbanisasi / pembandaran

  • satu proses membandarkan sesuatu kawasan
  • perubahan dari kawasan bercirikan luar bandar kepada kawasan yang bercirikan bandar
  • berlaku perubahan dari sektor pertanian kepada perindustrian