Saturday, November 1, 2008

perjalanan membuat kerja lapangan

Pada 17 Oktober 2008 (hari Jumaat), kami bertolak dari UKM tepat pukul 9.00 pagi untuk memulakan perjalanan ke Bandar Banting iaitu tempat kami ditugaskan untuk mencari responden. Responden yang diperlukan seramai 45 orang yang terdiri daripada berlainan bangsa untuk membantu kami menjawab soal selidik berkaitan dengan tahap keefisienan Bandar Banting. Perjalanan kami ke Bandar Banting menaiki kereta dan hanya berpandukan papan tanda yang ada. Perjalanan mengambil masa selama hampir sejam dan apabila tiba di Bandar Banting, kami mula bergerak mencari responden. dari segi pemerhatian kami, Bandar Banting agak lengkap dengan kemudahan yang diperlukan oleh penduduk, di situ terdapat sebuah pasaraya "The Store" dan deretan-deretan kedai yang memudahkan penduduk untuk mendapatkan barangan keperluan mereka. Selain itu, terdapat juga bangunan-bangunan kerajaan, bank, kolej swasta dan premis-premis makanan di Bandar Banting tersebut. Pelbagai kerenah responden yang kami temui sepanjang menjalankan kajian ini. Ada yang memang ramah dan sudi membantu tetapi ada juga yang agak sombong, namun ini merupakan fenomena biasa dalam menjalankan kerja lapangan yang melibatkan masyarakat. Ketika kajian ini dijalankan, Banting mengalami masalah terputus bekalan air di mana menurut penduduk di situ, bekalan air telah terputus selama 2 hari dan mereka bergantung kepada bekalan air yang dihantar oleh pihak yang bertanggungjawab. Pencarian responden berlarutan hingga ke petang, memang memenatkan tetapi kami mendapat pengalaman daripada kerja lapangan ini di mana kami dapat berkomunikasi dan berinteraksi dengan masyarakat luar.

No comments: