Sunday, August 17, 2008

KESAN MIGRASI

a) Ekonomi

Kerajaan telah mengambil langkah yang bijak, dalam mengawal kenaikan gaji buruh dan inflasi dan ini merupakan aspek utama dalam menuju kepada kejayaan pertumbuhan ekonomi. Melalui kaedah ini, kerajaan dapat mengurangkan penggunaan wang yang banyak untuk membayar gaji atau upah kepada buruh asing ini, kerana mereka tidak terlalu meminta-minta gaji yang lebih dan tidak menghiraukan sangat tentang pendapatan yang mereka perolehi, asalkan duit yang mereka terima itu mampu untuk menyara keluarga di negara mereka dan sebagainya. Secara tidak langsung para majikan akan mengambil kesempatan ini untuk mengaut keuntungan kerana mereka tidak perlu lagi menawarkan kos untuk kemudahan sosial seperti tabung kebajikan pekerja, faedah perubatan dan faedah-faedah lain kepada buruh asing ini.
Memang tidak dapat dinafikan, kedatangan buruh asing ke negara kita hanya untuk mengisi kekosongan pekerjaan dalam sektor perladangan, pembinaan, pembantu rumah dan sektor perkhidmatan ( seperti restoran dan jurupam ). Namun begitu, harus diingat dan telahpun terbukti bahawa ramai di kalangan buruh asing yang telah mula bertukar arah yakni menukar bidang pekerjaan yang mampu menawarkan gaji yang lumayan seperti peniaga kecil-kecilan, juruteknik, sub-kontraktor dan penyelia kilang yang sebelum ini pekerjaan ini telah dipenuhi oleh pekerja tempatan.
Justeru itu, penglibatan buruh asing ini bukan sahaja akan menggugat pendapatan pekerja tempatan malah kedudukan ekonomi orang tempatan. Kalau sebelum ini, orang tempatan dapat menikmati pekerjaan tanpa ada persaingan daripada orang asing, tapi kini tidak lagi, penduduk tempatan terpaksa bersaing untuk mendapatkan pekerjaan, dan mengakibatkan wujudnya peningkatan harga rumah, sewa rumah dan keperluan asas yang lain ekoran daripada pertambahan penduduk akibat daripada kehadiran buruh asing yang tidak terkawal di sesebuah tempat.

b) sosial
Sejak akhir-akhir ini media-media massa juga banyak menyiarkan berita-berita jenayah seperti merompak, menyamun, mencuri, merogol, menyeludup dan kegiatan pelacuran yang dilakukan oleh buruh asing yang datang ke negara kita. Penglibatan mereka dalam kegiatan jenayah boleh menggugat keselamatan sosial dan penduduk. Selain daripada itu, ada juga kedengaran, kedatangan buruh asing ini telah mempergiatkan peningkatan rumah urut, bar dan tempat karaoke, di mana di tempat-tempat sebegini terdapat ramai pelayan-pelayan yang terdiri dari warga asing yang bukan sahaja setakat melayan perkhidmatan pelanggan, malah sanggup menawarkan perkhidmatan seks kepada pelanggan yang memerlukan dengan bayaran yang murah.
Ekoran daripada fenomena sebeginilah yang boleh mengakibatkan gejala-gejala yang tidak diingini berlaku seperti AIDS dan sebagainya. Selain daripada itu terdapat juga laporan tentang segelintir buruh asing yang cuba menyebarkan agama lain kepada masyarakat Melayu yang beragama Islam di Malaysia. Jika ini berlaku , sudah tentu akan menimbulkan konflik sosial yang serius pada masa akan datang yang sekaligus akan mengancam keselamatan negara.

c) politik
Kehadiran buruh asing yang terlalu ramai, boleh menggugat kestabilan politik negara. Kegagalan pihak berkuasa menggubal satu undang-undang dan sekaligus mengawal kemasukan buruh asing ini dan merekodkan dengan sempurna ,secara tidak langsung pandangan orang luar terhadap pentadbiran dan peranan masyarakat umum negara kita terlalu lemah. Ini dapat dilihat, sekiranya terdapat buruh asing di Malaysia yang menyerupai penduduk tempatan baik dari segi budaya dan fizikal. Situasi ini dapat mewujudkan kekeliruan tentang status kerakyatan dan seterusnya penyertaan mereka dalam politik.
Kita ketahui bahawa di bawah Perundangan Malaysia, setiap warganegara asing boleh memohon untuk menjadi rakyat Malaysia dan salah satu keperluan perundangan ini ialah memiliki kad pengenalan. Walaupun ini merupakan syarat asas untuk menjadi rakyat Malaysia dan perlu mengikut prosedur-prosedur yang tertentu untuk mencapai taraf kerakyatan, namum begitu kejadian kad pengenalan palsu amat berleluasa dewasa ini.
Banyak terdapat sungutan kononya ada satu sindiket yang terdiri dari rakyat Malaysia sendiri yang berani mengeluarkan permit palsu semata-mata untuk memudahkan buruh asing ini masuk ke negara ini. Malah ada kemungkinan juga berlakunya penyelewengan di kalangan rakyat Malaysia sendiri, barangkali ada yang terlibat dalam kes seperti ini hingga membolehkan buruh asing ini mendapatkan visa dan kad pengenalan dengan mudah.
Sekiranya gejala-gejala ini tidak ditangani dengan segera, maka tidak hairanlah suatu hari nanti warga asing ini akan menjadi pemimpin negara kita sekaligus mengawal pentadbiran, ekonomi dan sosial mengikut telunjuknya.

No comments: