Sunday, August 17, 2008

KEWUJUDAN PENEMPATAN SETINGGAN
Proses urbanisasi yang pesat secara tidak langsung telah menggalakkan pertumbuhan penduduk yang tinggi berbanding dengan keupayaan penawaran perumahan. Ini mengakibatkan banyak tanah-tanah milik kerajaan atau swasta dijadikan alternatif untuk didirikan kediaman secara haram (setinggan).
Penempatan setinggan ini sudah pastinya membawa kesan yang kurang menyenangkan. Terdapat beberapa masalah yang sering dihadapi oleh penduduk setinggan.


MASALAH DI KAWASAN SETINGGAN

a) masalah keperluan asas
Penduduk di kawasan setinggan sering mengalami masalah kekurangan keperluan asas. Hal ini disebabkan, mereka mendirikan rumah tanpa kebenaran di atas tanah kerajaan. Keperluan utama seperti air bersih sukar diperoleh di kawasan penempatan setinggan dan menyebabkan mereka terdedah kepada masalah kesihatan yang teruk.
Selain masalah air, penduduk di kawasan setinggan juga mengalami masalah berkenaan dengan sistem pembuangan sampah, sistem pembuangan sisa kumbahan, dan keadaan jalan yang tidak memuaskan. Masalah ini meninggalkan kesan negatif terhadap persekitaran dan kesihatan penghuni setinggan. Tanpa sistem pembuangan sampah yang sistematik, mereka cenderung membuang sampah ke dalam sungai dan alur-alur, keadaan ini seterusnya menimbulkan ketidakselesaan di kawasan sekeliling serta mengundang kehadiran serangga-serangga seperti lalat dan nyamuk yang boleh mengancam kesihatan penduduk di kawasan setinggan.

b) masalah kemudahan awam
Kawasan setinggan juga turut mengalami masalah ketiadaan kemudahan awam, contohnya seperti tempat rekreasi, dewan orang ramai, klinik, sekolah, tempat ibadat dan sebagainya. Biasanya kemudahan-kemudahan tersebut terletak jauh dari penempatan mereka dan ini menyukarkan penghuni-penghuni setinggan untuk mendapatkan kemudahan tersebut. Sekolah yang terletak jauh dari penempatan mereka juga menyebabkan ada ibu bapa yang tidak menghantar anak-anak mereka ke sekolah dan menyebabkan mereka tercicir dalam pelajaran.

c) masalah jenayah
Penempatan setinggan tidak dapat diasingkan daripada berlakunya masalah jenayah. Hal ini disebabkan pihak berkuasa tidak memberi perhatian yang tinggi ke atas kawalan keselamatan kawasan setinggan. Antara kegiatan jenayah yang sering berlaku di kawasan setinggan ialah penyalahgunaan dadah, pelacuran, penculikan, kecurian dan sebagainya. Tambahan pula, pihak berkuasa tempatan enggan mendirikan pondok atau balai di kawasan setinggan menyebabkan berlaku peningkatan kes jenayah di kawasan tersebut. Kawasan setinggan juga turut menjadi pusat kepada pihak luar yang menjalankan aktiviti jenayah dan melibatkan remaja-remaja di kawasan tersebut.

No comments: