Sunday, August 17, 2008

urbanisasi dan pembangunan bandar

Urbanisasi merupakan proses perpindahan dari bentuk kehidupan desa kepada kehidupan bandar. Proses urbanisasi di bandar-bandar utama semakin pesat membangun meliputi keadaan fizikal dan sosio ekonomi. Perkembangan pesat dalam sector ekonomi bandar dan sektor perindustrian telah mewujudkan peluang-peluang pekerjaan yang banyak kepada penduduk setempat dan kawasan-kawasan sekitarnya. Kerajaan menganggap bahawa proses urbanisasi yang terancang dan terkawal merupakan satu strategi penting dalam mencapai matlamat DEB di samping memupuk keseimbangan ekonomi antara bandar dan luar bandar.

Pembangunan bandar yang seimbang adalah merupakan sebahagian daripada strategi yang penting untuk memupuk satu sistem ekonomi yang bersepadu. Dalam usaha kerajaan untuk mencapai matlamat pembangunan negara melalui proses pembangunan bandar atau urbanisasi, beberapa strategi khusus telah dirangka. Antaranya, memastikan pembangunan bandar yang seimbang dari segi pembangunan fizikal, susunan kaum dan penyertaan dalam pembangunan bandar melalui pengurusan sumber yang lebih cekap seperti tanah, sistem pengangkutan, perumahan, tenaga manusia, dan infrastruktur sosial.

Selain itu, kerajaan juga berusaha memastikan pembangunan secara teratur di pusat-pusat bandar yang sedia ada dengan mengambil kira keadaan tempatan. Selaras dengan tujuan ini, pelan-pelan struktur bagi pusat-pusat utama dan pelan-pelan tempatan bagi kumpulan-kumpulan pusat bandar kecil disediakan dan pelan ini menjadi garis panduan dalam pembangunan dan pembaharuan semula bandar. Strategi ini dirangka supaya dapat meningkatkan kecekapan dalam perancangan kawasan-kawasan bandar di samping dapat mengelakkan kesan buruk akibat pembangunan kawasan bandar.

Proses urbanisasi dan pembangunan bandar yang kian pesat terutama dalam sektor ekonomi bandar dan perindustrian telah menjadi pendorong utama penghijrahan penduduk-penduduk setempat ke kawasan bandar. Perkembangan dan kemajuan kawasan bandar bukan sahaja menarik para migrant dari dalam negara sahaja malah turut menjadi faktor pendorong berlakunya migrasi dari negara luar yang berhasrat untuk meningkatkan taraf hidup mereka.

No comments: